A Baby is a Miracle

This little tiny baby.....Was sent from God above To fill our hearts with happiness.....And touch our lives with love...He must have known........We'd give our all,And always do our best,To give our precious baby love.....And be grateful and so blessed.

Prince Frank

Prince Frank

Tuesday, July 13, 2010

SeNYuman Kasih

 Embun masih lagi hinggap di dedaun pokok jambu di belakang rumah. Suasana pagi itu amat sejuk lantaran hujan yang turun sejak semalam baru saja berhenti. Suasana dingin pagi seperti ini sudah tidak memberikan sebarang makna bagi Zurina untuk meneruskan tidurnya. Pada waktu begini, dia sudah bersiap-siap untuk menyediakan nasi lemak untuk dihantar ke warung-warung kuih di kampung itu, sedangkan penduduk kampung yang lain masih enak dibuai mimpi. Banyak kerja yang perlu dibereskan. Dia juga perlu bersiap-siap untuk pergi mengutip kelapa di Kebun Pak Misron. Dia terus bergegas menuju ke bilik anaknya.
“ Rul, bangun nak. Nanti terlewat pula kau nak ke sekolah”, kata Zurina untuk mengejutkan Amirul.
Seperti hari-hari sudah, Amirul membantu ibunya membungkus nasi lemak. Hasil jualan nasi lemak dan upah mengutip kelapa itulah yang menyara hidup Zurina dan anak-anaknya sejak pemergian suami tercinta menghadap ilahi lima tahun lalu.
“Mak, semalam cikgu pesan suruh bawa wang sebanyak RM 4 untuk beli buku peribahasa”, pinta Amirul sambil melangkah mencapai kasut sekolahnya.
“Hasil jualan semalam sudah pun mak gunakan untuk membeli keperluan dapur. Tunggulah, jika ada rezeki hari ini, mak akan berikan. Beritahu cikgu yang Rul akan bayar dalam dua tiga hari lagi”, kata Zurina sambil memandang ke arah Amirul yang sedang mengikat tali kasut di muka pintu.
“Baiklah mak, nanti Rul akan beritahu cikgu’. Amirul mengiakan kata-kata emaknya sambil menoleh lalu tersenyum ke arah Zurina.
Amirul sememangnya seorang anak yang baik dan amat menyayangi ibunya. Dia tidak pernah membantah cakap ibunya. Di sekolah, Amirul juga merupakan seorang pelajar yang rajin dan tekun terhadap pelajaran. Dia pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan syarahan.
“Peet ! Peet !”
Kedengaran bunyi hon motosikal Cikgu Syaiful di depan rumah. Cikgu Syaiful ialah guru di sekolah tempat Amirul belajar. Setiap pagi, dia akan menumpangkan Amirul ke sekolah kerana kebetulan dalam perjalanan ke sekolah, dia akan lalu di hadapan rumah Amirul. Cikgu Syaiful bersimpati dengan nasib Amirul sekeluarga disamping sememangnya dia juga menaruh hati terhadap emak Amirul, Zurina. Tetapi sehingga saat ini, dia masih belum berkesempatan untuk meluahkan isi hatinya kepada Zurina.
Sebaik saja mendengar bunyi hon motosikal Cikgu Syaiful, Amirul bingkas bangun lalu terus mencapai beg sekolahnya dan bakul berisi nasi lemak menuju ke arah Cikgu Syaiful yang setia menunggu di atas motosikalnya. Sebelum pergi, Amirul sempat mencium tangan ibunya dan meminta izin untuk pergi.
“Mak, Rul pergi dulu ya”.
“Baiklah. Tolong beritahu Mak Tijah, petang nanti baru mak ke warung untuk mengambil bakul tu. Mungkin lewat sedikit’, pesan Zurina.
Zurina masih lagi berdiri di muka pintu, memerhati sehingga motosikal Cikgu Syaiful hilang dari pandangannya. Begitulah rutinnya setiap pagi.
“Dua puluh Sembilan, tiga puluh, tiga puluh satu. Satu lagi. Siapa lagi yang belum hantar buku latihan?” tanya guru matemaik kelasnya.
Amirul menggelabah. Puas dia menyelongkar beg sekolahnya. Dalam mejanya sudah beberapa kali di cari. Namun, buku latihan matematiknya tidak juga ditemui.
“Siapa yang belum hantar?” tanya guru tersebut sekali lagi dengan nada yang agak tinggi.
“Sa....sa....saya, cikgu”, jawab Amirul tergagap-gagap sambil mengangkat tangannya perlahan-lahan.
“Kenapa awak tidak hantar? Apa kerja rumah awak belum siap? Apa awak nak jadi contoh yang tidak baik untuk rakan-rakan awak?” bertubi-tubi soalan ditujukan oleh guru matematik itu kepada Amirul.
“Buku latihan matematik saya hilang, cikgu”, jawab Amirul yang masih lagi ketakutan.
“Bagaimana boleh hilang? Awak jangan mencari alasan. Ada sesiapa yang terambil buku Amirul?”, kata guru matematik itu dengan nada yang lebih tinggi.
Semua pelajar menggelengkan kepala. Mereka semua memang takut akan guru matematik tersebut yang terkenal garang di dalam sekolah itu.
“Saya beri awak tempoh sehingga esok pagi. Saya nak buku awak ada atas meja saya awal pagi esok. Faham tu Amirul! Jika esok awak tak hantar, saya akan hantar awak kepada guru disiplin’, guru matematiknya memberi amaran.
Amirul semakin cemas. Sejauh yang dia ingat, dia meletakkan buku latihannya dalam meja sebelum waktu rehat tadi. Pasti ada yang berbuat khianat padanya.
“ Padan mukanya. Puas rasa hatiku”, bisik Zikri dalam hatinya.
Selama ini, Zikri memang iri hati terhadap Amirul. Amirul selalu mendapat pujian daripada guru-gurunya.
Ketika dalam perjalanan ke tandas, Amirul telah terjumpa buku nota kecil. Dikutipnya buku nota itu dan diatasnya tertulis, “ Hak milik Zikri, 3A”. Dia pun membelek-belek halaman buku nota itu. Alangkah terperanjatnya Amirul apabila terbaca catatan dalam buku nota itu.
“Hari ini sengaja aku ambil dan sembunyikan buku latihan matematik Amirul. Biar padan muka dia. Sekarang, barulah puas hati aku”.
Tanpa berlengah lagi, Amirul terus berlari ke bilik guru untuk menemui guru matematiknya untuk memberitahu keadaan yang sebenarnya. Tambahan pula, dia sudah mengetahui orang yang membuat khianat keatasnya.
“Apa? Oh....nampaknya Zikrilah yang telah mengkhianati awak. Cikgu akan laporkan perkara ini kepada guru disiplin. Maafkan cikgu kerana memarahi awak dan tidak percaya pada penjelasan awak tadi”, kata guru matematiknya selepas mengetahui perkara yang sebenar.
“Tak apa, cikgu. Saya faham sebab cikgu berbuat begitu tapi saya minta cikgu agar jangan menghukum Zikri atau melaporkan perkara ini kepada guru disiplin”, jawab Amirul. “Cikgu minta sahaja Zikri pulangkan semula buku latihan matematik saya. Itu sudah memandai bagi saya”, sambung Amirul lagi lalu meminta izin untuk balik ke kelas.
“Baik sungguh hati budak ni”, bisik cikgu matematik itu dalam hatinya selepas memberi keizinan kepada Amirul untuk balik ke kelas.
Pada waktu balik tengahari itu, Zikri datang berjumpa dengan Amirul.
“Amirul ! Amirul !”, terdengar satu suara menjerit memanggil Amirul.
Amirul berhenti lalu menoleh ke belakang. Dari jauh dia melihat Zikri berlari-lari anak menuju kearahnya. Sebaik saja sampai di hadapan Amirul, Zikri terus memeluk Amirul lalu berkata, “ Maafkan saya Rul atas perbuatan saya menyembunyikan buku latihan Matematik awak pagi tadi. Saya menyesal atas perbuatan saya itu. Saya baru saja berjumpa dengan guru math kita. Dia ceritakan segala-galanya pada saya. Awak sungguh baik Rul. Sudikah awak memaafkan saya?”
Amirul tersenyum lalu berkata, “Saya maafkan awak Kri. Baguslah awak telah insaf atas perbuatan awak itu. Lagipun, agama kita juga menggalakkan kita saling memaafkan satu sama lain. Jika awak ada masalah dalam pelajaran, saya sedia sedia membantu awak”.
“Terima kasih, Rul”, kata Zikri dan mengeratkan lagi pelukannya.
Sementara itu, Zurina berehat di bawah sebatang pokok kelapa yang masih muda. Tempat itu memang sentiasa menjadi tempat Zurina melepaskan penat setelah seharian mengutip buah kelapa sambil menikmati bekalan yang dibawa kerana pokok kelapa itu rendah dan tempatnya pula redup serta dapat menghalang panahan sinar matahari yang panas.
Zurina sekadar makan nasi berlauk ikan masin. Baginya, itu sudah memandai kerana dia tidak mahu membazirkan duit membeli lauk yang mahal. Adalah lebih baik duit itu disimpan dan digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah di samping kegunaan semasa kecemasan. Lagipun, upah Zurina mengutip buah kelapa dan pendapatan hasil jualan kuih tidaklah seberapa. Zurina sedar dia tidak mampu untuk membeli lauk yang sedap seperti orang lain. Dia lega anak-anaknya tidak merungut walaupun sering makan berlauk ikan masin sahaja. Anak-anaknya baik dan patuh padanya.
“Banyak kutip kelapa hari ni”, sapa Pak Misron.
Zurina tersentak lalu menjawab, “ Banyak jugalah Pak Misron”.
“Eh! Kenapa awak berehat disini? Kenapa tak berehat saja dalam pondok sana?” tambah Pak Misron sambil matanya menjeling tajam ke arah tubuh Zurina. Bentuk badan Zurina sememangnya masih lagi menarik seperti anak dara walaupun sudah beranak dua. Orang-orang bujang di kampung itu yang tidak tahu kisah Zurina memang menganggap Zurina adalah anak dara. Sebab itulah Zurina sering menjadi mangsa siulan budak-budak kampung yang nakal setiap kali dia dalam perjalanan ke kebun kelapa Pak Misron.
“Tak apalah Pak Misron. Di sini pun dah memandai. tidak mahu pula menyusahkan Pak Misron”, jawab Zurina ikhlas.
“Eh! Apa pula menyusahkan. Saya memang bina pondok itu untuk dijadikan tempat berehat. Marilah”, tambah Pak Misron lagi lantas memegang tangan Zurina.
Zurina terkejut lalu menarik tangannya daripada pegangan Pak Misron.
“Terima kasih sajalah Pak Misron”. Zurina sekali lagi menolak pelawaan Pak Misron dengan ikhlas.
Namun, Pak Misron masih mendesak. Tanpa disangka Pak Misron rupa-rupanya ada niat lain. Ada udang di sebalik batu. Pak Misron sememangnya sudah lama cuba untuk melakukan niat jahatnya itu. Cuma masa yang tidak sesuai. Kali ini dia benar-benar nekad. Pak Misron cuba menarik tangan Zurina, tetapi sempat ditepis oleh Zurina.
“Apa ni, Pak Misron? Jangan buat macam ni”, kata Zurina dengan nada yang tegas.
Pak Misron tak mempedulikan kata-kata Zurina. Sebaliknya dia bertindak lebih jauh dan cuba mendekati Zurina. Zurina sedaya upaya cuba mengelakan diri.
“Jangan buat macam ni Pak Misron. Saya anggap Pak Misron seperti ayah saya sendiri. Saya hormat akan Pak Misron”, tambah Zurina separuh merayu.
Pak Misron yang benar-benar nekad masih cuba meneruskan niat jahatnya itu. Zurina pula dengan sepenuh tenaganya menolak Pak Misron sehingga orang tua itu terlentang ke belakang. Tanpa melengahkan masa, Zurina bingkas bangun dan melarikan diri menuju ke jalan utama.
“Tolong! Tolong!”, jerit Zurina.
Pak Misron pula mengejar Zurina dari belakang. Semakin kuat jeritan Zurina, semakin laju Pak Misron mengejarnya. Zurina terus berlari sehingga sampai di jalan utama.
Kebetulan ketika itu, Cikgu Syaiful dan Amirul lalu. Seperti biasa Cikgu Syaiful juga akan menumpangkan Amirul balik ke rumah.
“Cikgu...cikgu...., itu macam mak Amirul”, kata Amirul separuh menjerit.
“Yalah, apa hal pula ni? Kenapa mak Amirul berlari macam dikejar hantu?”, tambah Cikgu Syaiful sambil menambahkan kelajuan motosikalnya. Motosikal Cikgu Syaiful berhenti betul-betul di hadapan Zurina. Zurina pula serta-merta berhenti sehingga hampir tersungkur.
“Tolong......tolong saya cikgu”, pinta Zurina yang masih lagi tercungap-cungap menahan keletihan.
“Sabar..sabar....bawa bertenang. Apa yang telah berlaku?”, tanya Cikgu Syaiful pula.
“Mak!”, jerit Amirul terus mendakap ibunya setelah turun dari motosikal. Zurina tak menjawab pertanyaan Cikgu Syaiful. Dia masih lagi tercungap-cungap.
“Bawa bertenang. Cuba ceritakan apa yang telah berlaku’, sekali lagi Cikgu Syaiful menyoal dengan nada yang lebih lembut. Setelah seketika, barulah Zurina menjawab, ” Pak....Pak Misron!”.
“Kenapa dengan Pak Misron”, sampuk Cikgu Syaiful dengan cemas.
“Dia....Dia.....berkelakuan tidak senonoh terhadap saya. Dia cuba memper....”. Zurina tak dapat meneruskan kata-katanya sebaliknya dia menangis sambil memeluk Amirul.
“AstarfirAllah....Pak Misron cuba buat begitu. Dah tua-tua pun masih nak membuat kerja tak senonoh. Tak sedar diri langsung”, gumam Cikgu Syaiful sambil meninjau kawasan sekitar. Kelibat Pak Misron tidak kelihatan lagi. Mungkin dia telah melarikan diri setelah melihat kelibat Cikgu Syaiful dan Amirul.
“Sudahlah....mari saya hantar kamu balik dulu. Amirul, tolong tolak motosikal cikgu. Jom, kita balik”, kata Cikgu Syaiful.
Setelah semuanya tenang, Cikgu Syaiful pun memecahkan kesunyian. “Saya rasa, kita patut laporkan perkara ini kepada penghulu. Perkara ini tidak boleh didiamkan saja”.
“Tak payahlah Cikgu. Nanti heboh pula perkara ini. Lagipun saya tak akan mengambil upah mengutip buah kelapa di kebun Pak Misron lagi”, jelas Zurina.
“Tapi....”. Belum sempat Cikgu Syaiful bersuara Zurina sudah menyampuk. “Tak apalah cikgu. Saya pun tak apa-apa sekarang. Terima kasih kerana menyelamatkan saya. Kalau tak, saya pun tak tau apa yang berlaku tadi.
“Tak payahlah nak berterima kasih. Memang sudah menjadi tanggungjawab saya menolong awak yang dalam kesusahan”, balas Cikgu Syaiful sambil tersenyum ikhlas.
Beberapa hari kemudian Cikgu Syaiful datang ke rumah Amirul untuk melawat emaknya, Zurina. Sebelum pulang pada petang itu, Cikgu Syaiful telah meluahkan isi hatinya pada Zurina. Zurina menyambutnya dengan senyuman malu. Amirul pun tersenyum girang.
“Yahoo”, jerit Amirul.

No comments:

Post a Comment