Setiap manusia berhak untuk mengecap nikmat kejayaan kerana setiap kita mempunyai keinginan yang sama. Yang menentukan sama ada kita mampu menggapainya atau tidak bergantung kepada niat, sikap dan usaha kita. Sekalipun banyak rintangan menghadang jangan sesekali berputus asa kerana ramai yang akan menyokong. Pandanglah sekeliling dan renunglah ke dasar anak mata mereka yang ihklas membantu anda. Anda pasti akan menemui sinar keikhlasan mereka dan capailah tangan mereka kerana merekalah yang menyokong anda untuk sampai ke puncak. Jangan lupa pada mereka yang telah bersusah keranamu kerana mereka dirimu berjaya menggenggam sebuah cita-cita dan impian mu menjadi kenyataan.
Ramai di antara kita yang tidak menyedari kehadiran mereka yang dapat memberikan manfaat kepada kita. Mungkin merekalah yang akan membantu kita untuk mencapai matlamat kita atau orang yang akan menyokong kita. Namun seringkali kehadiran mereka kita abaikan kerana kita menganggap kehadiran mereka mengganggu ketenangan kita. Kita menganggap remeh tentang pandangan kita tanpa kita sedari itulah sebenarnya jawapan atau cara yang dapat membantu anda mengenal potensi diri. Hanya disebabkan idea serta pandangan mereka berbeza dengan prinsip kehidupan yang anda pegang selama ini.
Anda menentang kerana anda beranggapan bahawa mereka tidak memahami kerana mereka mengalami apa yang anda lalui. Anda terlupa bahawa anda yang tidak memberi peluang kepada orang lain untuk mengenali diri anda. Anda tidak membuka diri anda untuk diselami. Anda menganggap sekiranya anda berterus- terang orang lain akan memandang rendah serta tidak menghormati anda. Sekiranya anda membuat tanggapan awal seperti itu, maka itulah yang akan berlaku dalam perhubungan anda. Tindakan yang anda buat akibat daripada itu, anda pergi kepada orang yang mempunyai pandangan seperti anda iaitu kuasa negatif bertemu kuasa negatif akan menyebabkan kuasa negatif itu berkembang. Mereka bukan sahaja tidak membantu anda malah menjerumuskan lagi anda kepada perasaan syak wasangka dan menganggap diri anda sahaja yang betul.
MY TRULY BEST FRIEND
Tiada yang lebih indah daripada pengalaman, kerana pengalaman aku mampu bertahan dan kerana pengalaman aku mampu meniti cabaran, dialah sahabat ku yang terbaik. Kadangkala menyakitkan, mengecewakan, menggembirakan, mengagumkan namun pengalaman tetap pengalaman. Sahabat terbaik ku di antara sahabat. Setiap hari dia bersama ku mengiringiku tanpa mengira waktu dan tanpa ku sedari. Di saat aku menyedari kewujudannya dia sudahpun berlalu sambil tersenyum meninggalkan aku dan berjanji akan datang lagi. Katanya “seorang sahabat takkan pernah pergi meninggalkan sahabatnya kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain dan saling melengkapi”…Begitu indah ia berjanji dan begitu indah juga dia menepati janjinya…
Namun kadangkala aku melupakannya namun temannya kenangan akan mengingatkan aku bahawa dia sering hadir dalam hidup ku…Dan alangkah indah jika dapat diterjemahkan dalam bahasa persahabatan manusia supaya kita saling menghargai sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita. Aku pasti tidak akan ada yang pernah terluka dan makan hati lalu terputus ikatan persahabatan hanya kerana tidak ada sifat tolak ansur…Akhirnya ada yang menangis, mengeluh dan tidak kurang juga yang membenci. Sedihnya hati apabila perhubungan yang terbina sekian lama terputus begitu sahaja hanya kerana sifat mementingkan diri.
Kerana sikap itu kita akhirnya kehilangan seseorang hanya kerana kita tidak mahu mengalah dan mendengar nasihat orang lain. Kita sering menganggap diri kita hebat dan tidak memerlukan orang lain untuk memperbaiki diri. Namun sedarkah kita kerana sikap kita juga , kita menyebabkan seseorang itu menangis, marah dan kecewa. Mereka menganggap dirinya sudah tidak diperlukan lagi. Akhirnya dia pergi dengan hati yang kecewa dan hampa. Sekali hatinya dilukai lantas dia berlalu pergi dan takkan berpaling lagi. Sekali terluka dan lukanya amat dalam di hatinya sukar untuk menyatakan maaf kerana sikap kita. Dan kehilangannya pasti akan meninggalkan kesan di hati kita.
Berulang kali kita kehilangan apa yang dimiliki hanya kerana sikap yang mementingkan diri. Dan banyak kali juga anda melukakan hati seseorang. Tidakkah anda kasihan kepada diri anda kerana selalu kehilangan sedangkan ianya sudah pun berada di dalam genggaman anda. Mungkin bagi sesetengah orang itu adalah perkara biasa. Namun jika difikirkan semula semuanya berpunca dari sikap ego kita sendiri. Kita malu untuk mengaku bahawa kesilapan itu berpunca dari kita.
Kita malu andai mengalah kerana ini melambangkan kekalahan. Tunduk bukan bererti mengalah. Sebaliknya inilah masanya untuk kita menilai semula diri kita. Muhasabah sebentar dan berfikir langkah seterusnya yang perlu diambil. Inilah masa untuk kita merenung semula ke dasar hati kita tentang sesuatu yang telah kita lakukan dan kita tidak lakukan. Pada ketika inilah kita mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki keadaan. Bukannya menuding jari kepada orang lain dan bermegah dengan diri kita.
Setiap kita mempunyai pandangan serta penyelesaian yang tersendiri. Pendekatan yang kita gunakan berbeza dengan pendekatan orang lain, sekalipun orang yang paling rapat dengan kita. Ini kerana cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara dari sudut pemikiran yang berbeza. Dan ini sudah tentu melahirkan pendapat yang berbeza. Melalui cara yang berbeza membantu kita mencapai matlamat dan keputusan.
Jika kita mahu orang lainmenghormati kita dan menerima kita seadanya, kita sendiri yang harus memulakannya. Setiap yang kita lakukan haruslah bermula dari kita sendiri. Sebelum membetulkan kesalahan orang lain pastikan diri kita sendiri sudah stabil. Bukannya seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Sentiasa beranggapan bahawa diri kita adalah role model. Namun bukanlah bererti bahawa anda kelihatan baik dan sempurna sepanjang masa kerana ada masanya kita juga manusia biasa. Cuma biarlah kata-kata kita selari dengan perbuatan kita.
No comments:
Post a Comment