PADA SATU HARI, anda berjalan-jalan di taman untuk menikmati pagi yang cerah. Tidak ramai orang di situ. Berdekatan sebuah kolam yang dihuni ikan koi, seorang pelukis muda sedang mengasah bakat. Dua orang kanak-kanak bermain bola. Seorang penjual aiskrim sedang melayan pesanan.
Tiba-tiba anda merasakan sesuatu. Pemandangan itu, ia bagaikan pernah anda saksikan sebelum ini. Kedudukan orang, apa yang mereka lakukan, bahkan percakapan mereka juga seolah-olah sudah terpahat dalam ingatan anda sekian lama. Namun anda begitu pasti bahawa anda tidak pernah ke taman tersebut sebelum pagi itu.
Dan secara mendadak juga hati anda mendesak supaya anda cepat-cepat beralih. Selang seminit sahaja selepas anda terus berjalan menyusuri tebing kolam, sebuah kereta yang terbabas tiba-tiba menjunam ke dalam air. Jika anda terus berdiri di tempat tadi, kereta itu tentunya telah mengheret anda, dan suasana di taman itu tentunya tidak lagi begitu indah.
Kisah ini hanyalah ciptaan semata-mata. Tetapi ia mungkin pernah berlaku kepada anda dalam kehidupan sebenar. Ia membawakan dua situasi yang sering memaksa saintis berfikir panjang dan menjalankan kajian demi kajian untuk memahami sesuatu yang sungguh dekat dengan diri kita, tetapi begitu jauh dari difahami.
Minda kita sendiri.
Deja-vu adalah satu keadaan di mana secara spontan hati anda berkata bahawa anda pernah berada di situasi tertentu, dengan keadaan seperti yang ada di sekeliling anda secara tepat. Ia mungkin terbit daripada suatu kebetulan, tetapi lebih kerap lagi ia seolah-olah mengesahkan pesanan di masa silam bahawa anda akan menghadapi situasi itu pada masa hadapan.
Bagi sesetengah ahli agama, perkara ini begitu mudah dijelaskan. Manusia dikatakan sudah pun menerima takdir hidupnya sebelum dia dilahirkan. Justeru perjalanan hidupnya telah tersusun kemas. Walau bagaimanapun, manusia mampu membuat pilihan untuk membentuk hidupnya sendiri, dan perjalanan hidup alternatif berdasarkan pilihannya itu juga sebenarnya telah ditulis. Kadang-kala seseorang itu menerima imbasan akan pembentangan perjalanan hidup yang ditunjukkan kepadanya di alam roh.
Dari segi saintifik, ia mungkin dapat dijelaskan melalui hakikat bahawa otak kita menjalankan pelbagai operasi pemprosesan maklumat tanpa kita sedari. Ia dipanggil "subconscious thinking". Di kala kita memandang ke sekeliling kita, sebagai contoh, kita melihat segala apa yang terdapat di hadapan kita. Walau bagaimanapun, persepsi kita hanya memberi tumpuan kepada perkara yang menarik, seperti seorang penjual aiskrim dan pelukis. Namun, otak kita mampu menyimpan segala butiran, termasuk warna dan tekstur batang pokok dan pergerakan bayang-bayang di atas tanah - cuma disebabkan kita tidak memberi tumpuan kepada butiran itu, kita tidak mampu mengambil semula maklumat tersebut dari ingatan untuk diperjelaskan melalui mulut.
Perkara ini telah dibuktikan, malah mampu memberikan faedah yang bermakna. Sesetengah saksi kejadian jenayah tidak dapat memberikan maklumat penting kerana ingatannya kabur. Kadang-kala mereka diletakkan dalam keadaan separa sedar atau "subconscious state" melalui hipnosis. Mereka sering dapat memberikan penjelasan yang tepat dalam keadaan separa sedar dan membantu pihak polis menyelesaikan kes yang rumit.
Keadaan deja-vu dan desakan hati yang seolah-olah memberi alamat akan kejadian buruk di masa hadapan mungkin berlaku disebabkan otak kita yang menjalankan pemprosesan maklumat secara separa sedar. Dalam keadaan tertentu, otak mungkin menyampaikan isyarat penting kepada kita bahawa sesuatu akan berlaku, berdasarkan pemprosesan maklumat tersebut. Kita mungkin tidak memahami isyarat itu sepenuhnya, tetapi kita sering bertindak mengikutnya.
Kembali kepada cerita rekaan kita tadi, mata dan telinga anda mungkin telah menangkap imej dan bunyi tertentu yang membuatkan otak anda menghasilkan suatu rumusan penting. Bunyi dan imej itu diterima secara tidak sedar kerana anda tidak menumpukan kepadanya, tetapi otak tetap memprosesnya. Suatu isyarat kecil - suara hati yang halus - memaklumkan anda bahawa sesuatu yang besar dan laju akan menuju ke lokasi anda tidak lama lagi. Maka anda bertindak untuk mengelakkannya, walaupun anda tidak berapa sedar apa yang sedang anda lakukan.
Namun segala ini hanyalah hipotesis. Ia tidak dapat dibuktikan oleh sains sehingga tahap teknologi kita mampu memecah kebuntuan berkenaan pemikiran manusia. Sehingga itu, di sebalik segala misteri lain di alam ini, minda kita terus mencetuskan persoalan di kala ia sendiri menjawab pelbagai persoalan.
CUBA FIKIRKAN
Anda pernah mengigau hingga berjalan dalam tidur (sleep-walking)? Atau ada seseorang di kalangan keluarga dan sahabat anda yang mengalaminya? Jika ya, anda mendepani suatu situasi di mana otak mengawal tubuh badan tanpa anda sedari. Selalunya orang yang berjalan dalam tidur tidak akan melanggar dinding atau jatuh tangga kerana tidak melangkah dengan betul. Mereka juga mampu membuka laci dan mengeluarkan barang tertentu secara tepat. Otak mereka telah menyimpan segala maklumat mengenai jarak, ketinggian, kedudukan dan sebagainya. Lalu semasa tidur, apabila faktor pencetus igauan itu berlaku, otak mengawal anggota badan untuk bergerak berdasarkan maklumat ukuran yang telah disimpan. Ia seperti seorang buta berjalan tanpa perlu melihat apa yang berada di sekeliling mereka.
Sekiranya kita mampu menerima penjelasan bahawa otak kita sememangnya telah memproses maklumat dan menyimpannya untuk meramalkan masa depan, maka adakah ia juga penjelasan terbaik bagi menerangkan kebolehan peramal dan pakar psikik? Adakah otak Nostradamus begitu hebat hingga dia mampu meramalkan pelbagai kejadian penting di zaman-zaman akan datang? Mungkin ya, atau mungkin juga mereka mendengar suara dari sumber yang lebih "menarik".
No comments:
Post a Comment